Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Negara Brunei Darussalam mencatatkan 18 kes baharu COVID-19, terendah sejak negara mengesan jangkitan koronavirus dalam gelombang kedua pada Ogos lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,111 orang.
Terdapat pertambahan tiga kes baharu kepada satu kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes positif sebelum ini, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.
“Sementara itu, terdapat satu kluster baharu telah dikesan yang melibatkan lima kes iaitu Nur Naziba Construction Kota Batu Staff House yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Lima kluster pula telah tamat setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster Al Rejek Sdn Bhd, Kluster Rentokil Initial, Kluster 4157, Kluster 8132 dan Kluster Ban 3 Construction Staff House, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 127 kluster.
“Selain itu, terdapat dua kes import yang tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Mesir melalui Kuala Lumpur de-ngan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 874 pada 17 November 2021,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Manakala, terdapat lapan kes baharu yang masih disiasat sumber jangkitan.
“Sebanyak 58 kes sembuh yang membawa jumlah kes sembuh kepada 14,565 kes manakala kes aktif ialah 447 kes,” tambahnya.
Menurutnya, dalam kalangan kes-kes dalam rawatan sekarang, hanya dua kes berada dalam kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif, dan kedua-dua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).
“Sementara itu, terdapat satu kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” tambahnya.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,876 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 menjadikan jumlah keseluruhan kepada 623,500 ujian.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan tiada pelanggaran arahan dikesan semasa Operasi Peralihan yang dijalankan semalam dari jam 10malam hingga 4 pagi tadi.