Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 kesalahan lalu lintas dikesan, 214 kompaun dikeluarkan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BELAIT, 29 OGOS – Pelbagai kesalahan telah direkodkan semasa operasi sepadu yang dikendalikan oleh Ibu Pejabat Daerah Polis Belait bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain, baru-baru ini.

    Operasi dari 8 malam hingga 10:30 malam itu dijalankan secara serentak di dua lokasi iaitu kawasan Lebuhraya Seria Bypass hala Kuala Belait dan kawasan Lorong 3
    Barat berdekatan Simpang 198, hala dari lebuh raya menuju ke Pekan Seria.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), sebanyak 18 kesalahan lalu lintas dan 214 kompaun telah didapati dalam operasi tersebut.

    Antara kesalahan yang telah didapati adalah pelekat plastik filem atau tabir pada kereta, lesen memandu mansuh, tayar nampak dawai, insurans mansuh dan memasang lampu biru di hadapan, yang dikompaun di bawah Bab 8 (1) Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 dan Bab 18 (4) Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68.

    Sementara itu, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) mendapati satu kesalahan iaitu pemandu memiliki dua unit vape pod, kesalahan di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006.

    Pelbagai kesalahan dikesan semasa operasi sepadu jalan raya di Daerah Belait, baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB
    Pelbagai kesalahan dikesan semasa operasi sepadu jalan raya di Daerah Belait, baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB

    Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) pula telah mengeluarkan satu pas khas kepada warganegara Bangladesh untuk pengesahan dokumen asal dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan U/REG 31, dan U/REG 104 (1) serta tiga kesalahan iaitu U/Sec 76(1) Cap 68, REG 26 Cap 68 dan REG 28 Cap 68.

    Manakala itu, Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah menahan dua orang atas kesalahan Seksyen 6(a), iaitu kesalahan memiliki dadah terkawal; Seksyen 6(b), iaitu kesalahan memakan dadah terkawal; Seksyen 7, iaitu kesalahan memiliki alat perkakas untuk memakan dadah terkawal, Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27.

    Antara tujuan utama operasi adalah untuk mempromosikan dan menguatkuasakan peraturan keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya dan masyarakat awam.
    Operasi tersebut terdiri daripada keanggotaan PPDB iaitu daripada Balai Polis Seria, Balai Polis Panaga, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) Batu 3, dan agensi-agensi lain iaitu JPD, JKED, JIPK, Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU) dan BKN.

    Agensi-agensi penguatkuasaan akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan negara ini.

    PPDB serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda