18 lagi perdengarkan bacaan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Seramai 12 orang qari dan enam qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada hari kedua Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan 1442 Hijrah/2021 Masihi yang berlangsung di Dewan Melor, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini, pihak urus setia musabaqah telah menyiarkan pertandingan berkenaan secara langsung melalui Instagram KHEU @kheu.brunei untuk memberi peluang orang ramai menyaksikan dan mendengarkan bacaan qari dan qariah yang bertanding di peringkat separuh akhir kebangsaan kali ini.

Dengan 18 peserta akhir berkenaan memperdengarkan bacaan, majlis pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada peserta dan hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1442H/2021M akan diadakan esok di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU di mana ia akan diselajurkan dengan penyampaian hadiah dan cenderamata Musabaqah Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1441H/2020M.

Sebagai projek tahunan KHEU, musabaqah berkenaan merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Dengan adanya musabaqah ini, ia dihasratkan dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka di samping membuka minda dan minat masyarakat berjinak-jinak dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

Ia juga dihasratkan dapat memajukan dan mengembangkan dalam bidang Al-Quran dan mendorong masyarakat ke arah celik Al-Quran sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah, doa untuk memohon kepadaNya serta peringatan supaya jauh daripada kelalaian.

Salah seorang peserta qari memperdengarkan bacaannya pada hari kedua musabaqah di KHEU, kelmarin.
Salah seorang peserta qariah yang memperdengarkan bacaannya kelmarin.