INDIA, 1 APR – Seramai 18 maut dan lima lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kilang mercun di barat India hari ini, kata pegawai.
Letupan itu menyebabkan ketulan batu dan logam terhumban jauh dari kompleks kilang di bandar Deesa di negeri Gujarat.
“Terdapat letupan besar di kilang menyebabkan bumbung konkrit runtuh, membunuh 18 orang dan mencederakan lima yang lain,” kata jurucakap kerajaan Rishikesh Patel kepada pemberita.
Kilang itu beroperasi tanpa lesen, tambahnya.
Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan ke atas kejadian itu.
Bunga api sangat popular di India, terutamanya semasa perayaan Hindu Diwali, serta untuk digunakan semasa perayaan perkahwinan.
Letupan adalah perkara biasa di bengkel mercun, dengan pemilik sering mengabaikan keperluan keselamatan asas.
Tahun lalu, 11 orang maut dalam letupan kilang bunga api di negeri tengah Madhya Pradesh.
Pada 2019, kira-kira 18 orang terbunuh dalam letupan serupa di negeri Punjab, dan 10 lagi terbunuh pada tahun yang sama di Uttar Pradesh. – AFP
