JAKARTA, 10 MAC – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan lima yang lain hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera Indonesia, kata seorang pegawai tempatan, kelmarin, dalam tol baharu.
Hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang melanda Kabupaten Pesisir Selatan di wilayah Sumatera Barat, menyebabkan kira-kira 46,000 orang terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.
“18 orang ditemui mati. Lima hilang,” kata pemangku ketua agensi mitigasi bencana Pesisir Selatan, Doni Gusrizal kepada AFP lewat kelmarin.
Pegawai itu mengemas kini jumlah tol daripada 10 yang beliau berikan dalam kenyataan sebelum ini.
Doni berkata serpihan daripada bencana telah menghalang usaha menyelamat yang sedang dijalankan.
“Kesan daripada banjir (sangat) luar biasa. Pada masa ini kami sedang membersihkan jalan… Kenderaan kami tidak boleh melaluinya,” katanya.
Sehingga lewat kemarin, perkhidmatan elektrik masih terputus di beberapa bahagian di Pesisir Selatan selepas bencana itu, menurut seorang wartawan AFP di daerah itu.
Sekurang-kurangnya 14 rumah tertimbus dalam tanah runtuh, lebih 20,000 rumah dinaiki air dan lapan jambatan runtuh, menurut kenyataan awal daripada agensi mitigasi bencana negara.
Di Kabupaten Padang Pariaman, juga di Sumatera Barat, hujan lebat antara Khamis dan Jumaat menyebabkan sungai melimpah dan mencetuskan banjir dan tanah runtuh, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, menurut kenyataan agensi mitigasi bencana tempatan.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan dan masalah itu telah menjadi lebih teruk di beberapa tempat dengan penebangan hutan, dengan hujan lebat yang berpanjangan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara kepulauan itu.
Tanah runtuh dan banjir menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera pada Disember, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang. – AFP


