AHMEDABAD, 18 JUN – Kira-kira 18 orang terkorban sejak Isnin apabila hujan lebat melanda beberapa kawasan di negeri Gujarat, barat India, menurut pegawai negeri.
Pasukan tindak balas bencana telah dikerahkan untuk membantu penduduk di selatan negeri itu yang kini bersiap sedia menghadapi lebih banyak hujan monsun.
Menurut kenyataan kerajaan negeri lewat kelmarin, “Seramai 18 orang kehilangan nyawa dalam insiden berkaitan hujan, manakala puluhan lagi telah diselamatkan di kawasan rendah oleh pasukan penyelamat.”
Antara kawasan paling terjejas adalah bandar Palitana dan Jesar yang mencatatkan 867 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam, kelmarin.
Pesuruhjaya bantuan negeri, Alok Kumar Pandey berkata kematian tersebut berpunca daripada ribut, panahan petir dan runtuhan struktur akibat cuaca buruk.
“Kerajaan negeri berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dan koordinasi antara jabatan sedang dipertingkatkan bagi memastikan operasi bantuan dan penyelamatan berjalan lancar,” katanya.
Mereka yang telah diselamatkan termasuk 18 pekerja ladang yang terperangkap di sebuah kebun mangga di kawasan Gadhada, serta 22 orang di daerah Surendranagar apabila air sungai melimpah masuk ke rumah mereka.
Musim monsun tahunan di India yang berlangsung dari Jun hingga September memberikan kelegaan daripada haba musim panas yang terik dan penting untuk mengisi semula bekalan air negara itu.
Namun, setiap tahun ramai yang maut akibat banjir kilat dan tanah runtuh semasa musim hujan di India, sebuah negara yang mempunyai populasi seramai 1.4 bilion orang. – AFP


