MEXICO, 4 OGOS – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 23 cedera kelmarin apabila bas yang membawa pendatang asing dan penduduk tempatan terjunam ke dalam gaung di barat laut Mexico, kata pihak berkuasa.
Tiga kanak-kanak bawah umur adalah antara yang maut, lapor agensi perlindungan awam di negeri Nayarit.
Bas itu, dengan kira-kira 40 orang di dalamnya, dalam perjalanan dari Mexico City ke barat laut Tijuana, yang bersempadan dengan San Diego, yang mana ramai pendatang cuba mencari perlindungan di Amerika Syarikat (AS).
“Kebanyakan penumpang adalah warga asing dan berasal dari negara seperti India, Republik Dominican dan dari benua Afrika, antara lain, sebahagian daripada mereka menuju ke Tijuana untuk menyeberang ke AS,” kata agensi perlindungan awam itu.
Pemandu bas itu telah ditahan kerana disyaki memandu laju, menyebabkan dia hilang kawalan dan terjunam ke bawah tambak berhampiran ibu negeri Tepic, lapor agensi itu.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di Mexico, lazimnya disebabkan kelajuan tinggi, keadaan kenderaan yang tidak diselenggara atau keletihan pemandu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P13-A-paper-web-AFP_05082023.jpg)