HANOI, 12 OKT – Sekurang-kurangnya 18 orang maut dan belasan lagi yang lain hilang selepas banjir menenggelamkan deretan kediaman di ibu negara Vietnam.
Berdasarkan imej dalam laporan media tempatan, keseluruhan perkampungan di Quang Tri dan Quang Nam ditenggelami air, manakala banjir lumpur melanda bandar Hue serta destinasi tumpuan pelancong, Hoi An. Agensi pengurusan bencana Vietnam menjelaskan, lebih 100,000 rumah musnah dan tenggelam akibat banjir, menyebabkan 46,000 penduduk di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan.
Bencana alam itu turut menyaksikan anggota tentera bertungkus-lumus cuba menyelamatkan lapan nelayan menggunakan helikopter selepas bot dinaiki para nelayan itu dibadai laut bergelora di wilayah Quang Tri.
Antara yang terkorban dalam insiden itu ialah tiga nelayan, manakala tiga orang lagi dilaporkan masih hilang sehingga kini. Vietnam sering dilanda cuaca tidak menentu ketika musim hujan yang lazimnya berlaku antara Jun hingga November, dengan pesisir tengah negara berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan paling berisiko. – AFP