RAWALPINDI, 30 JULAI – Seramai 18 orang maut apabila sebuah pesawat kecil tentera terhempas di kawasan kediaman di bandar Rawalpindi, Pakistan awal hari ini, pegawai memberitahu AFP.
Pesawat itu terhempas di sebuah kampung miskin berhampiran kejiranan mewah di bandar garison yang menempatkan ibu pejabat tentera, meletuskan bebola api yang menerangi langit malam dan mencemaskan penduduk.
“Kami sudah membawa 18 mayat ke hospital…ia termasuklah 13 orang awam dan lima anggota kru,” kata jurucakap agensi penyelamat tempatan, Farooq Butt, menambah seramai 12 lagi cedera dalam nahas berhampiran ibu negara, Islamabad itu.
“Kesemua mayat rentung teruk, sehubungan itu, ujian DNA diperlukan untuk mengenalpasti mangsa,” tambahnya.
Salah seorang penduduk memberitahu AFP, nahas itu berlaku sekitar pukul 2 pagi. “Saya bangun kerana bunyi dentuman kuat. Saya keluar dari rumah dan nampak bebola api besar dan kami berkejar ke tapak kejadian,” kata Mohammad Sadiq.
“Mangsa-mangsa menjerit. Kami cuba membantu mereka, namun api menjulang tinggi dan kebakaran pula kuat,” katanya, menambah bahawa dia percaya tujuh ahli sebuah keluarga adalah antara yang maut.
Bahagian maklumat tentera mengatakan pesawat itu dalam misi latihan rutin semasa kemalangan berlaku, menambah bahawa pegawai penyelamat sudah pun memadamkan kebakaran akibat pesawat terhempas dan memindahkan mereka yang cedera ke sebuah hospital tempatan.
Seorang wartawan AFP di tempat kejadian walau bagaimanapun, mengatakan bahawa asap tebal masih lagi kelihatan di tempat kejadian dan memusnahkan kediaman manakala serpihan pesawat kelihatan di atas bumbung rumah berdekatan. – AFP
