KAHERAH, 28 MAC – Angka kematian dari bangunan apartmen sembilan tingkat yang runtuh di Kaherah meningkat kepada 18, menurut laporan media Mesir.
Kejadian bangunan runtuh berlaku awal kelmarin. Akhbar Al-Ahram berkata usaha mencari dan menyelamat dilakukan oleh pekerja menemukan mayat-mayat dalam tempoh sehari.
Jentolak dilihat menggali runtuhan di kawasan kejiranan el-Salam. Polis menutup kawasan berkenaan, menghalang orang ramai yang kebanyakan mencari ahli keluarga di dalam bangunan tersebut.
“Mereka mengeluarkan empat mayat di hadapan saya, yang nampaknya tidak dapat diselamatkan,” kata Mohammed Mostafa, penduduk di kawasan kejiranan.
Sekurang-kurangnya 24 lagi mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Khalid Abdel-Al, ketua pentadbir gabenor Kaherah. Jumlah kematian yang diberikan oleh pejabatnya kekal sembilan orang setakat malam kelmarin.
Masih tidak jelas punca yang menyebabkan bangunan tersebut runtuh. Jawatankuasa jurutera dibentuk untuk membuat penilaian struktur bangunan di kawasan kejiranan, kata Abdel-Al.
Kejadian bangunan runtuh adalah sesuatu yang jarang berlaku di Mesir, di mana pembinaan bangunan kurang berkualiti berleluasa di kawasan setinggan, kejiranan bandar yang teruk dan kawasan pendalaman.
Dengan kawasan hartanah yang mewah di bandar-bandar besar seperti Kaherah dan bandar di Mediterranean, Alexandria, pemaju mencari keuntungan besar sering kali melanggar permit bangunan. Aras berlebihan sering ditambah tanpa permit yang betul.
Pihak kerajaan baru-baru ini melancarkan serbuan ke atas bangunan-bangunan yang dibina secara tidak sah di seluruh negara, memenjarakan pesalah dan dalam kebanyakan kes memusnahkan bangunan.- AFP
