Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Jan – Seramai 18 orang mualaf wanita telah berjaya menamatkan Kursus Skim Bimbingan Asas Mualaf Wanita siri ke-187 bagi Tahun 1439 Hijrah/2018 Masihi dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, hari ini.
Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu, selaku tetamu kehormat majlis.
Skim yang telah diadakan selama 14 hari bermula 15 Januari lalu itu telah dimuatkan dengan beberapa pengetahuan tentang tauhid, kebersihan, makanan dalam Islam, akhlak, praktikal, ibadat dan sebagainya.
Dalam ucapannya, Haji Roslan menyeru semua peserta skim tersebut untuk sentiasa mengamalkan segala ilmu pengetahuan yang telah diajarkan, sambil menekankan bahawa setiap ilmu perlulah diamalkan untuk mendapat berkah sepanjang masa.
“Setiap ilmu yang diperolehi tidak akan bernilai jika ianya tidak diamalkan, selain jiwa juga tidak akan menjadi tenang kerana kurang mendapat keredaan Allah S.W.T,” katanya.


Beliau juga merakamkan tahniah kepada peserta-peserta skim tersebut dan berharap mereka akan terus menyertai kursus-kursus yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan termasuklah pembelajaran Iqra dan menyarankan mereka untuk menyertai kelas-kelas bimbingan mualaf untuk belajar bacaan Iqra secara lebih lanjut.
Sejurus sebelum acara penyampaian sijil, para peserta kursus juga telah ditunjukkan cara penyembelihan yang betul oleh tenaga pengajar skim tersebut selain membukakan peluang untuk sesi soal jawab.
Beberapa orang peserta kursus semasa ditemui merakamkan penghargaan kepada tenaga-tenaga pengajar dan pihak Pejabat Unit Dakwah Belait kerana telah banyak memberikan tunjuk ajar melalui kursus-kursus yang dikendalikan dan mereka berharap akan lebih banyak peluang menambahkan ilmu pengetahuan tentang ajaran Islam dari semasa ke semasa.