Saturday, July 12, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 negara bakal berentap dalam Piala Raja Thai 2025

    KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Sebanyak 18 negara akan berentap pada kejohanan sepak takraw dunia Piala Raja Thai ke-38 yang akan berlangsung di Songkhla, Thailand pada 22 hingga 27 Julai ini.

    Setiausaha Agung Persekutuan Sepak takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kadir, dalam kenyataan hari ini berkata, skuad negara telah diundi untuk mengetuai Kumpulan B bersama Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan.

    Tuan rumah yang juga juara bertahan setelah menewaskan Malaysia 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (15-13, 15-9) dalam edisi ke-37 pula diundi dalam Kumpulan A acara berpasukan dengan Brunei, Vietnam, India dan Singapura.

    “Angka ini berkurangan berbanding edisi lepas akibat penarikan diri besar-besaran 18 lagi negara, khususnya antara handalan dunia, Indonesia dan Filipina,” katanya.

    Abdul Halim berkata majlis undian yang diadakan di lokasi kejohanan itu semalam turut dihadiri Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorhpipat, dan Timbalan Presiden, Fariq Halim, serta Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit.

    Kejohanan Piala Raja Thai ke-38 dijadualkan bakal berlangsung pada 22 hingga 27 Julai ini. – AFP

    Beliau berkata dua acara Divisyen Perdana termasuk regu berpasukan wanita ialah kuadran (berempat) dan kuadran campuran, manakala gelung terbuka kepada semua negara peserta.

    “Perhitungan ‘buku dengan ruas’ pula bakal disaksikan dalam acara kuadran lelaki yang menempatkan Thailand, Malaysia, Myanmar dan Korea Selatan dalam Kumpulan A. Mereka merupakan empat kuasa handalan sepak takraw dunia di samping Singapura.

    “Hanya dua teratas dalam ‘Kumpulan Maut’ ini akan layak ke separuh akhir untuk berentap dengan bakal juara dan naib juara Kumpulan B yang dijangka milik Vietnam dan India,” katanya.

    Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata acara regu dan beregu dalam Divisyen Perdana tidak akan dijalankan.

    Acara regu katanya, akan dipertandingkan bagi Divisyen Satu yang disertai negara kurang handal seperti Taiwan, Australia, Bangladesh, Iraq, Sri Lanka, Nepal, Perancis dan Pakistan.

    Beliau berkata tuan rumah TAT memaklumkan isu keselamatan akan dipantau sebaik mungkin sepanjang kejohanan lapan hari itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda