Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Seramai 18 orang warga Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima Pingat Kerja Lama pada Majlis Penyampaian Pingat Kerja Lama bagi Pegawai-pegawai dan Kakitangan KSSUP dan Majlis Israk dan Mikraj 2017, di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong yang juga menyampaikan pingat-pingat kepada para penerima.
Penyampaian pingat berkenaan adalah bagi menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan selain menjadi motivasi untuk terus memberikan sumbangan terhadap organisasi.
Salah seorang penerima, Haji Kasih bin Haji Yusop yang bertugas di Jabatan Perikanan selama 27 tahun, telah menyatakan rasa amat berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana telah memberikan kepercayaan untuk menerima pingat berkenaan.
Beliau juga menyarankan semua pegawai dan kakitangan di KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya supaya dapat menunjukkan kerja-kerja yang berdedikasi, jujur dan amanah.

Majlis berkenaan juga diselajurkan dengan Sambutan Israk dan Mikraj KSSUP bagi tahun 2017 dengan penyampaian ceramah khas bertajuk ‘Integriti Dalam Perkhidmatan Awam’.
Ceramah khas berkenaan disampaikan oleh Profesor Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA, Profesor Dr. Abdul Ghafar bin Ismail.
Majlis sambutan berkenaan merupakan kegiatan tahunan KSSUP untuk menyemarakkan lagi Sambutan Israk dan Mikraj serta memperingati hari-hari kebesaran Islam khususnya mengingati peristiwa perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan terus ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh.
Majlis berkenaan juga antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara warga KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Hadir di majlis berkenaan ialah para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di KSSUP.