Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 pelajar JIS terima Anugerah Emas IMC

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Seramai 18 orang pelajar Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah menerima Anugerah Emas dalam pertandingan matematik kebangsaan paling popular di United Kingdom (UK), Intermediate Maths Challenge (IMC), baru-baru ini.

    Sementara itu, 26 pelajar menerima Anugerah Perak dan 30 pelajar menerima Anugerah Gangsa.

    JIS dalam kenyataan yang dikeluarkan turut mengumumkan bahawa Lemuel Dhanushan Chinniah di Tahun 11 dianugerahkan ‘Terbaik di Sekolah’, Paul Abraham dianugerahkan ‘Terbaik di Tahun 10’ dan Vivi Dia dianugerahkan ‘Terbaik di Tahun 9’.

    Seramai 103 pelajar dari Tahun 9 hingga 11 telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang dikendalikan oleh UK Mathematics Trust (UKMT) itu.

    Cabaran itu menyasarkan pelajar Tahun 9 hingga 11 (umur 13 hingga 16 tahun) dan memerlukan mereka menjawab 25 soalan pilihan dalam masa 60 minit tanpa kalkulator. Ia adalah kertas yang direka untuk merangsang minat dalam matematik untuk sebilangan besar pelajar.

    Gambar ramai para penerima Anugerah Emas dalam cabaran berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JIS

    Soalan-soalan tersebut bertujuan untuk menguji ketangkasan matematik pelajar, kebolehan mereka mengaplikasikan matematik yang telah mereka pelajari di dalam kelas dengan cara yang luar biasa dan kreatif.

    Penyelaras IMC di JIS, Adrian Thacker, mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mengambil bahagian. Beliau berkata, “Membangun penyelesai masalah yang berdaya tahan adalah teras kepada apa yang kami cuba capai sebagai Fakulti Matematik di JIS.

    “Cabaran ini menggalakkan penaakulan matematik, ketepatan pemikiran dan kelancaran menggunakan teknik asas matematik untuk menyelesaikan masalah yang menarik. Saya amat berbangga dengan semua yang mengambil bahagian dan terutamanya mereka yang berjaya mendapat sijil, syabas!,” katanya lagi.

    Sementara itu, Ketua Fakulti Matematik, Chris Walker berkata, “Saya sangat gembira dengan keputusan tahun ini, terutamanya dengan lebih ramai pelajar mengambil bahagian dalam cabaran dan 72 peratus pelajar mencapai sekurang-kurangnya Anugerah Gangsa.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda