Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 20 JUN – Seramai 18 pelari daripada Train Smart Road and Trail (TSRT) Running Group baru-baru ini telah menyahut cabaran menyertai Program Baby Backyard Ultra bagi siri kedua, yang diadakan di trek larian Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) di Seria.
Berkongsi kepada Media Permata, salah seorang ahli kumpulan berkenaan berkata program itu sememangnya sangat mencabar di mana ia menguji kesabaran dan mentaliti setiap pelari.
Program yang berlangsung selama 13 jam itu menawarkan format backyard ultra yang mencabar mental dan fizikal para pelari yang mana ia sebagai persediaan mereka untuk Brunei Backyard Ultra skala penuh yang bakal diadakan pada Oktober ini.
Adapun objektif utama Program Baby Backyard Ultra itu adalah untuk memperkenalkan peserta kepada format backyard ultra iaitu acara ketahanan yang unik di mana para pelari melengkapkan pusingan sejauh 6.7 kilometer setiap jam.
Acara itu memerlukan pelari untuk melengkapkan larian bagi setiap pusingan dalam masa kira-kira 58 hingga 60 minit sebelum pelari yang seterusnya bermula. Ia merupakan pertandingan yang tidak mempunyai garisan penamat yang tetap sehingga hanya seorang pelari yang tinggal.


