ISTANBUL, 7 NOV – Seramai 18 individu ditahan di Turki dalam siasatan terhadap pengadil yang disyaki terlibat dalam pertaruhan perlawanan bola sepak, menurut pejabat pendakwa raya Istanbul hari ini.
Sebanyak 21 waran tangkap telah dikeluarkan melibatkan 17 pengadil dan seorang presiden kelab divisyen pertama, namun pihak pendakwa tidak menyatakan berapa ramai pengadil berada dalam kalangan 18 individu yang sedang disoal siasat.
Siasatan memberi tumpuan kepada dakwaan mengatur perlawanan dan penyalahgunaan kuasa.
Majlis Disiplin Persekutuan Bola Sepak Turki minggu lalu telah menggantung 149 pengadil yang dituduh terlibat dalam pertaruhan, melanggar larangan sedia ada.
Penggantungan itu antara lapan hingga 12 bulan, namun persekutuan tidak menjelaskan sama ada mana-mana daripada mereka disyaki bertaruh pada perlawanan yang mereka sendiri kendalikan.
Siasatan oleh persekutuan bulan lalu terhadap 571 pengadil dari liga bola sepak profesional Turki mendedahkan bahawa 152 daripada mereka, termasuk 22 pengadil divisyen pertama, “aktif bertaruh” pada perlawanan.
Para pengadil menolak ‘tuduhan melampau’ itu dalam kenyataan bersama pada Rabu, menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada mereka pernah bertaruh pada perlawanan yang mereka wasitkan. Sebahagian daripada mereka turut mendakwa aktiviti pertaruhan itu berlaku ketika mereka masih menjadi pengadil amatur. – AFP


