Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Seramai 18 orang pemandu pelancong telahpun lulus peperiksaan dan penilaian secara teori dan praktikal yang telah dikendalikan dengan kerjasama Kolej Perniagaan Laksamana (LCB), institusi yang telah dilantik oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan bagi mengendalikan Kursus Asas Pemandu Pelancong di Brunei Darussalam.
Penyampaian sijil kepada 18 pemandu pelancong yang berjaya tersebut telahpun diadakan pada hari ini, bertempat di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.
Ketua Jabatan Perniagaan, Hospitaliti dan Pelancongan LCB, Simon Keenan dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa saat ini adalah tempoh menarik bagi pelancongan di Brunei, di mana Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu meramalkan bahawa pelancongan dunia (ketibaan antarabangsa) akan berkembang 3.3 peratus di seluruh dunia setiap tahun, dengan Asia dan khususnya Asia Tenggara diramalkan menjadi salah satu pertumbuhan pasaran yang terbesar.
“Brunei, menurut data dikumpulkan oleh Majlis Pelancongan dan Perjalanan Dunia, sedang mengalami peningkatan perbelanjaan semasa dan ramalan pelancong sebanyak 7.3 peratus setiap tahun. 300,000 pelancong melalui udara disasarkan untuk tiba pada tahun ini yang menjadikan lebih 8 peratus peningkatan,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau mengongsikan kepada para pemandu pelancong bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk mereka semua yang baru dan sedia ada, untuk menjadi duta terbaharu Brunei, untuk menyerlahkan warisan budaya Brunei yang unik serta alam dan sumber semula jadi yang menakjubkan. Kursus yang dianjurkan bertujuan untuk memastikan maklumat dan informasi yang disalurkan oleh setiap pemandu pelancong adalah tepat dan betul di samping membuka peluang-peluang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk tempatan khususnya dalam kalangan belia di Brunei Darussalam.
Sementara itu, Kursus Asas Pemandu Pelancong merupakan salah satu usaha Jabatan Kemajuan Pelancongan untuk meningkatkan dan memantapkan lagi kemahiran pemandu pelancong di negara ini agar perkhidmatan yang diberikan adalah berkualiti dan memenuhi kehendak piawaian yang telah ditetapkan.
Peserta-peserta kursus juga turut didedahkan dengan berbagai teknik kemahiran asas secara praktikal dan teori tentang tatacara sebagai pemandu pelancong, pengenalan destinasi-destinasi utama pelancongan dan tempat-tempat menarik termasuk pengenalan berhubung industri pelancongan di negara ini.
Semua pemandu pelancong yang telah lulus Kursus Asas Pemandu Pelancong seterusnya dikehendaki untuk menghadapkan permohonan ke Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bagi mendapatkan Lesen Pemandu Pelancong. Kursus seterusnya akan diadakan pada bulan September ini selama 10 hari bermula pada 16 September. Untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran bolehlah menghubungi LCB atau melayari laman web institusi tersebut.
