Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Sebanyak 18 buah syarikat telah menandatangani perjanjian bagi menaja Anugerah Pelangi ke-8 pada majlis yang berlangsung di Bangunan Utama, Kompleks Penyiaran Radio Televisyen Brunei (RTB), Sungai Akar, hari ini.
Syarikat-syarikat berkenaan adalah Awinco-Jaquar World Brunei; Makan Ceria Sdn Bhd; Khan’s Carpet & Wallpaper; Pappu Restaurant & Catering; Cahaya Butik; London High Street; Luxury Secret Closet; Progresif Sdn Bhd; NBT Brunei; Milimewah Department Store Sdn Bhd; Firoz Jaya Silkhouse; Studio7 Productions; Men’s Cave Clothing; Sparks Co; City Neon Displays & Construction Sdn Bhd; Awinco-Durra Paints Sdn Bhd; Gentleman Stitch dan Saycheese Photobooth.
Menandatangani perjanjian bagi pihak RTB ialah Pemangku Pengarah, Cheong Chee Keong manakala syarikat-syarikat penaja diwakili oleh pengurus dan wakil-wakil syarikat.
Anugerah Pelangi adalah satu penghargaan dan pengiktirafan RTB kepada artis tempatan yang bergiat aktif dalam bidang seni muzik termasuk nyanyian dan penciptaan lagu yang mana anugerah ini diadakan setiap dua tahun sekali.
Ia bertujuan untuk membolehkan penggiat seni menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti tinggi dan memartabatkan lagi industri hiburan tempatan di negara ini.
Lapan kategori akan dipertandingkan pada Anugerah Pelangi ke-8 iaitu Vokal Lelaki Pilihan, Vokal Wanita Pilihan, Vokal Duo atau Kumpulan Pilihan, Artis Baharu Pilihan, Lagu Pilihan, Lagu Inspirasi Pilihan, Muzik Video Pilihan dan Anugerah Eksklusif.
