Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 tamat Kursus Asas Kejurulatihan Kebangsaan Sukan Karate Tahap Asas 2025

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Seramai 18 peserta berjaya menamatkan serta menerima sijil mereka dalam Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Kejurulatihan Kebangsaan Sukan Karate Tahap Asas 2025 yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.

    Kursus selama empat hari yang bermula pada 15 September hingga hari ini dikendalikan oleh JBS, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Karate Negara Brunei Darussalam (BRUKAF).

    Antara peserta yang menyertai kursus berkenaan terdiri daripada penggiat aktif sukan karate di mana pencalonan dibuat oleh pihak BRUKAF melalui kelab-kelab dan atlet kebangsaan yang memegang tali pinggang hitam.

    Pemudahcara-pemudahcara kursus ialah Jurulatih Karate (Kata), Anggoro Bayu Pratama dan Jurulatih Karate (Kumite), Haji Okhida Simangasing.

    Gambar ramai para peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan bersama Haji Mohamad Rosfazilah. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Kursus itu bermatlamat untuk menyediakan platform asas kepada individu yang berminat dalam bidang kejurulatihan karate supaya mereka dapat memahami prinsip-prinsip asas kejurulatihan, struktur sukan karate di Negara Brunei Darussalam serta aspek teknikal dan keselamatan dalam melatih atlet secara sistematik dan profesional.

    Manakala itu, hala tuju kursus berkenaan menekankan pembinaan asas kukuh untuk jurulatih baharu melalui penguasaan pengetahuan kejurulatihan, teknik dan taktik asas karate, aplikasi sains sukan, pencegahan kecederaan, perancangan latihan, pemahaman peraturan pertandingan, serta kemahiran kepimpinan dan komunikasi.

    Kursus itu juga memberi tumpuan kepada etika, profesionalisme, penilaian prestasi atlet serta pembangunan mental dan fizikal mereka.

    Secara keseluruhan, ia bertujuan melahirkan jurulatih berkeupayaan untuk membimbing atlet akar umbi secara sistematik, selamat dan beretika, di samping menyediakan laluan untuk perkembangan kejurulatihan ke tahap lebih tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda