YANGON, 28 FEB – Anggota keselamatan Myanmar hari ini telah melepaskan tembakan, membunuh sekurang-kurangnya 18 orang dalam satu lagi insiden berdarah ketika Myanmar berdepan dengan krisis rampasan kuasa sejak empat minggu lalu, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia bagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menerima maklumat tersebut daripada sumber yang boleh dipercayai.
Junta berdepan dengan kritikan antarabangsa yang menyeru kepada pembebasan pemimpin awam Aung San Suu Kyi, yang ditahan bersama dengan tokoh politik lainnya pada awal bulan ini.
Sejak beberapa minggu lalu, polis dan tentera telah melepaskan tembakan dengan menggunakan peluru getah, gas pemedih mata dan air bagi meleraikan bantahan tersebut dan menggesa kepada kempen pematuhan peraturan sivil. Bagaimanapun sebilangan besar pembantah kembali berhimpun hari ini bagi menuntut pembebasan pemimpin mereka, di mana para penunjuk perasaan juga berkempen secara dalam talian untuk menyeru kepada perhimpunan itu.
Sementara itu, sekurang-kurang 30 lagi lainnya tercedera selepas anggota keselamatan bertindak untuk menghalang ribuan penunjuk perasaan daripada perhimpunan tersebut.
Seorang pekerja Pyae Zaw Hein berkata kejadian itu telah mencetuskan insiden tembakan, di mana sebahagian daripada mereka tercedera akibat terkena peluru getah.
“Bilangan mereka yang tercedera mungkin akan meningkat,” katanya kepada AFP.
Pemandu sebuah ambulan, Than Lwin Oo memberitahu AFP bahawa dia telah menghantar mayat mangsa lelaki berumur 18 tahun ke hospital utama di Bago. Angka kematian disahkan oleh media yang berpangkal di sana. – AP/AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-11-myanmar_01032021-1.jpg)