Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 terima sijil kursus reka bentuk, pencetakan 3D

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 13 JUN – Seramai 18 peserta terdiri daripada belia dan masyarakat dari keempat-empat buah daerah yang menyertai Kursus Kemahiran Asas Komputer dalam Perisian Reka Bentuk dan Pencetakan 3D telah menerima sijil penyertaan pada majlis penutup kursus berkenaan, hari ini.

    Kursus selama dua hari yang bermula dari 12 hingga 13 Jun itu berlangsung di Pusat Belia, Kuala Belait, sebagai sebahagian daripada Program Kemahiran Tangan.

    Kursus tersebut merupakan program baharu yang dianjurkan bersama oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Daerah Belait bagi membantu meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan belia untuk masyarakat di Daerah Belait dan seluruh negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil pada majlis berkenaan ialah Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.

    Terdahulu, semasa ucapan penutup bagi majlis tersebut, Awang Haswandi berharap ilmu yang diperolehi semasa kursus itu akan dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus menceburi bidang perisian reka bentuk dan percetakan 3D.

    Awang Haswandi semasa menyempurnakan penyerahan sijil kepada salah seorang peserta bengkel. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Salah seorang tenaga pengajar bengkel semasa memberikan penjelasan kepada para peserta. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Beliau juga menasihatkan golongan belia untuk terus mengasah dan mencari ilmu dan kemahiran baharu sebagai tambahan yang boleh meningkatkan lagi pemahaman mereka.

    Di samping itu, beliau juga berpeluang untuk meninjau lebih lanjut mengenai model 3D yang telah dibuat oleh peserta kursus menerusi pengetahuan yang diperolehi di sepanjang kursus berkenaan.

    Sementara itu, beberapa orang peserta kursus yang sempat ditemubual oleh Media Permata antaranya ialah Dayang Nur Najla’ binti Abdullah Sufian yang menyatakan bahawa kursus tersebut telah membantu mengembangkan lagi pengetahuannya, terutamanya mengenai perisian dan percetakan reka bentuk 3D.

    “Saya berharap lebih banyak bengkel seperti ini akan terus diadakan pada masa akan datang kerana ia akan membantu saya mengembangkan pengetahuan dan kemahiran kami pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

    Sementara itu, Awang Muhammad Lai Jazmi bin Muhammad Silmi turut mengatakan bahawa reka bentuk dan percetakan 3D merupakan pengalaman baharu baginya.

    “Saya ingin mempelajari sesuatu yang baharu, terutamanya dalam reka bentuk dan percetakan 3D, yang akan menjadi kemahiran tambahan untuk saya gunakan pada masa hadapan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda