Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    18 terkorban dalam letupan tangki minyak di selatan Nigeria

    ABUJA, NIGERIA, 26 JAN – Sekurang-kurangnya 18 orang maut dan 10 yang lain cedera selepas sebuah tangki minyak meletup di selatan Nigeria, menurut pihak berkuasa.

    Kemalangan itu berlaku di sepanjang lebuh raya Enugu-Onitsha di negeri Enugu, selatan Nigeria, selepas tangki yang sarat dengan minyak petrol kehilangan kawalan, merempuh 17 kenderaan dan terbakar.

    Pihak Berkuasa Keselamatan Jalan Raya Persekutuan Nigeria (FRSC) mengesahkan kejadian tersebut dalam satu kenyataan kelmarin.

    Mereka yang terbunuh “rentung hingga tidak dapat dikenali,” kata jurucakap pasukan penyelamat FRSC, Olusegun Ogungbemide.

    Selain 10 yang cedera, penyelamat berjaya mengeluarkan tiga lagi yang tidak tercedera.

    Gambar Freepik

    Ketiadaan sistem kereta api yang efisien untuk mengangkut kargo menyebabkan kemalangan trak maut adalah perkara biasa di kebanyakan jalan utama di Nigeria, negara yang mempunyai populasi terbesar di Afrika.

    Awal bulan ini, 98 orang terbunuh dalam letupan tangki minyak di tengah utara Nigeria, berhampiran kawasan Suleja, negeri Niger, selepas beberapa individu cuba memindahkan petrol dari tangki minyak yang terbalik ke trak lain dengan menggunakan generator.

    Beberapa orang awam juga dilihat cuba mengambil petrol dari tempat kejadian. Pihak berkuasa kemudiannya melancarkan kempen seluruh negara untuk menghalang tindakan tersebut.

    Harga minyak petrol di negara itu melonjak selepas kerajaan Presiden Bola Tinubu menghapuskan subsidi lebih setahun lalu, dengan tujuan untuk mengalihkan sumber kepada tujuan pembangunan yang lebih penting.

    Walau bagaimanapun, dasar itu telah memberi kesan kesulitan kepada penduduk tempatan.

    Mengambil minyak dari tangki yang terbalik adalah amalan biasa di Nigeria, kerana ada yang menggunakannya atau menjualnya untuk keuntungan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda