Monday, November 11, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    180 orang sertai Beach Night Run

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 5 NOV – Majlis Perundingan Kampung Penanjong dengan kerjasama Shahney Event Management telah menganjurkan acara Beach Night Run buat julung kalinya bertempat di Pantai Persiaran Pengkalan Pinang, Kampung Penanjong, Daerah Tutong, malam kelmarin.

    Seramai 180 orang peserta bukan hanya terdiri daripada masyarakat di negara ini bahkan termasuk tiga orang dari United Kingdom dan lima orang lagi dari Malaysia telah menyertai acara larian dalam empat kategori utama iaitu Veteran Lelaki 50 Tahun ke Atas, Veteran Perempuan 50 Tahun ke Atas, Terbuka Lelaki 49 Tahun ke Bawah dan Terbuka Perempuan 49 Tahun ke Bawah.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengerusi Bersama Beach Night Run, Mohd Shahrol Redhwan bin Haji Mohd Yussof.

    Kemudian sesi pelepasan peserta perlumbaan larian telah dilakukan oleh Ketua Kampung Penanjong, Muhammad Ariffin bin Haji Akip. Perlumbaan itu telah bermula dan berakhir di kawasan letak kereta Pantai Persiaran Pengkalan Pinang dengan merentasi beberapa kawasan kampung dengan jarak sejauh 22 kilometer (km) untuk enam pusingan atau 3.7km untuk satu pusingan.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan sesi penyampaian ha-diah kepada para pemenang di akhir acara berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Mohammad Sofian menyampaikan hadiah kepada para pemenang di akhir acara perlumbaan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG

    Dalam perlumbaan sejauh 22km bagi Kategori Veteran Lelaki 50 Tahun ke Atas, tempat pertama diraih oleh peserta dari Sabah, Guianus Salagan, diikuti dengan Haji Hassan bin Haji Kamis di tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh Amirul Abdullah.

    Sementara itu, Erin merangkul tempat pertama bagi Kategori Veteran Perempuan 50 Tahun ke Atas, diikuti di Kona Liau di tempat kedua, selaku peserta dari Sabah dan Mahani Singok di tempat ketiga.

    Pemenang tempat pertama dalam Kategori Terbuka Lelaki 49 Tahun ke Bawah pula telah diraih oleh Mohd Azrol bin Haji Awang Ali dan peserta dari Sabah, Arikchely Ariyl Arkah di tempat kedua dan Azeemi Alesham di tempat ketiga.

    Manakala dalam Kategori Terbuka Perempuan 49 Tahun ke Bawah telah dimenangi oleh Diana Siew, Eleyina Sabtu dan Christina Angkuang.

    Mohd Shahrol Redhwan antaranya menjelaskan dengan pelaksanaan acara larian sedemikian, ia diharapkan membuka minda dan jiwa serta semangat dalam melakukan pelbagai aktiviti sukan dalam hidup berkeluarga dan juga bermasyarakat, di samping mengeratkan jalinan persahabatan dalam lingkungan penggiat sukan larian di negara ini.

    “Kebiasaannya kita melakukan larian di kawasan bandar mahupun pekan tetapi dengan diadakan di kawasan kampung, ia juga secara tidak langsung mampu memupuk jiwa raga kita semua untuk lebih menghargai keindahan kampung.

    “Dengan adanya penglibatan peserta dari ketiga-tiga daerah yang lain mahupun negara luar pastinya ia juga secara tidak langsung mampu memperkenalkan tempat tarikan yang dimiliki oleh kampung-kampung berkaitan khususnya bagi para pencinta suasana pantai,” ujarnya.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja-penaja acara yang terdiri daripada Aziz Latif Company, Mashor Waste Management, Sabli Food Industry, Artesian Fresh, SAP House, D Sunlit Sdn Bhd, Zakepool dan Dynamic Sport.

    Acara berjalan santai yang menyaksikan penglibatan kalangan penduduk kampung setempat itu turut disokong oleh Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda