Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seramai 181 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara diraikan pada majlis penyampaian sijil penghargaan yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.
Hadir menyampaikan sijil penghargaan kepada para pesara ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak serta tetamu khas lain.
Majlis turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Jutawan Dunia dan Akhirat’ yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.
Kemudian majlis diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada pesara yang terdiri daripada mantan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis diadakan sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangan jasa bakti dan khidmat pegawai-pegawai dan kakitangan yang bersara dan telah berkhidmat dengan kerajaan Baginda Sultan khususnya di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Ia juga diadakan sempena dengan sambutan Hari Perkhidmatan Awam yang biasanya diadakan pada 29 September.

