Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Seramai 182 orang pesara pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang bersara pada 2016 menerima sijil penghargaan pada majlis yang diadakan di kementerian berkenaan, hari ini.
Daripada seramai 122 orang pesara lelaki dan 60 pesara perempuan berkenaan, lapan orang adalah dari Kementerian Pembangunan, 11 dari Jabatan Kemajuan Perumahan, 16 dari Jabatan Ukur, sembilan dari Jabatan Tanah, lima orang dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa, lapan orang dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan 125 orang lagi dari Jabatan Kerja Raya.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil-sijil penghargaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah.
Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Pembangunan, Awang Mohamad Iskandar bin Haji Idris yang juga selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan dan terima kasih bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pembangunan khususnya kepada para pegawai dan kakitangan kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah memberikan khidmat bakti di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dengan kerajaan.


Tambahnya, khidmat para pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat dahulu akan sentiasa diingati dan dikenang kerana pencapaian dan kecemerlangan perkhidmatan awam pada masa ini banyak bergantung kepada kecekapan, ketekunan, kejujuran dan kewibawaan mereka.
Majlis juga diisikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Meniti Waktu Dunia Persaraan’ yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Awang Yusuf bin Haji Abdul Majid.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi serta ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.