Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    183 murid Program 1 Minggu 1 Juzuk dirai

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 31 Okt – Seramai 183 orang murid Darjah Pra hingga 6 dari beberapa buah sekolah agama Daerah Tutong yang menyertai Program Satu Minggu Satu Juzuk telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Mahad Islam Brunei, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Ketua Pegawai Agama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat.

    Ini merupakan kali kedua majlis berkenaan diadakan yang melibatkan seramai 472 orang murid sekolah agama Daerah Tutong dari Darjah Pra hingga 6 yang mana ia disasarkan kepada murid-murid yang fasih dan lancar serta mampu mengkhatamkan Al-Quran.

    Majlis Khatam Al-Quran Program Satu Minggu Satu Juzuk juga akan diadakan lagi esok bagi peserta lain program berkenaan.

    Melalui program ini, ia dihasratkan agar dapat memantapkan lagi pembacaan Al-Quran murid-murid di sekolah agama dan ke arah melahirkan generasi celik Al-Quran.

    Murid-murid yang menyertai Program Satu Minggu Satu Juzuk yang diraikan di Majlis Khatam Al-Quran, petang kelmarin.

    Selain itu, program itu juga dapat memberi peluang dalam meningkatkan lagi mutu bacaan murid yang sememangnya mempunyai potensi dalam pembacaan Al-Quran menerusi sistem pembelajaran berkategori yang dijalankan di sekolah-sekolah agama dan juga dapat meningkatkan jumlah murid yang khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun.

    Majlis khatam Al-Quran ini diselenggarakan oleh Jawatankuasa Guru-guru Agama Daerah Tutong dengan gabungan Pejabat Pengajian Islam Tutong dengan melibat 29 buah sekolah agama di Daerah Tutong.

    Sekolah-sekolah yang menyertai majlis khatam hari ini ialah Sekolah Ugama Bakiau, Sekolah Ugama Batang Mitus, Sekolah Ugama Birau, Sekolah Ugama Kiudang, Sekolah Ugama Penanjong, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Sekolah Ugama Sengkarai, Sekolah Ugama Sinaut, Sekolah Ugama Kampung Menengah, Sekolah Ugama Pengiran Muda Mahkota Kuala Tutong dan Sekolah Ugama Kupang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda