Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Seramai 183 pegawai dan anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diraikan dalam Majlis Penganugerahan Pingat Kerja Lama Polis (PKLP) yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.
Penganugerahan pingat berkenaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para warga PPDB yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian pingat berkenaan ialah Pesuruhjaya PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472, Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, sebelum diteruskan dengan penyampaian pingat kepada para penerima oleh tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PPDB, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan serta para penerima pingat.