NAIROBI, 30 OGOS – Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata sekurang-kurangnya 183 orang terbunuh dalam pertempuran di wilayah Amhara, Etiopia sejak Julai ketika pejuang Amhara menentang usaha kerajaan persekutuan untuk membubarkan mereka.
Pejabat PBB kelmarin juga berkata situasi hak asasi manusia di Etiopia semakin merosot, dengan lebih 1,000 orang dilaporkan ditangkap di bawah keadaan darurat yang diisytiharkan awal bulan berhubung dengan pergolakan itu.
“Ramai daripada mereka yang ditahan dilaporkan sebagai anak muda dari etnik Amhara yang disyaki penyokong Fano,” kata pejabat PBB, merujuk kepada nama militia Amhara.
“Sejak awal Ogos, penggeledahan besar-besaran dari rumah ke rumah dilaporkan telah dilakukan, dan sekurang-kurangnya tiga wartawan Etiopia yang membuat liputan di wilayah Amhara telah ditahan,” tambahnya. – AP
