Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seramai 1886 graduan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dari pelbagai program latihan, diraikan dalam Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kali Ke-33 berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 24 graduan menerima Sijil Akademi TVET, 63 graduan menerima Sijil Diploma (Peringkat 5), 1,010 graduan menerima Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HNTec), 782 graduan menerima Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknikal (NTec) dan tujuh graduan menerima Sijil Perantisan Kebangsaan Pendidikan Teknikal (NTec Apprenticeship).
Majlis dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi pagi melibatkan 1,097 graduan dan sesi petang seramai 789 graduan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi pagi dan menyempurnakan penyampaian sijil bagi Sijil Akademi TVET, Sijil Diploma (Peringkat 5) serta Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknikal (HNTec) ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


Yang Berhormat turut menyampaikan beberapa anugerah khas, iaitu Anugerah Best Teacher Trainee (Pelatih Terbaik), Anugerah Academic Excellence Award (Akademik Cemerlang), Anugerah S.T.A.R.S Excellence Award (Cemerlang S.T.A.R.S) dan Anugerah Chinese Ambassador kepada graduan cemerlang terpilih.
Terdahulu penyampaian sijil dan anugerah itu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Daerah Brunei dan Muara, Ustaz Muhammad Amin bin Haji Salim.
Kemudian diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh pelajar IBTE Kampus Mekanikal, Awang Muhammad Rizmee Saufi Shahadat bin Abdul Muizzul Azmi.


Manakala pad sesi petang, penyampaian sijil kepada 789 graduan bagi program NTec telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE, Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku Katok, Aiman Hafizunizam bin Mohammad Zaimeerol.
Antara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut termasuk Anugerah Best Teacher Trainee (Pelatih Terbaik) seramai 3 orang penerima; Anugerah Academic Excellence Award (Akademik Cemerlang) seramai 12 orang penerima; Anugerah S.T.A.R.S Excellence Award (Cemerlang S.T.A.R.S) seramai 10 orang penerima; dan Anugerah Chinese Ambassador seramai 4 orang penerima.
Anugerah-anugerah berkenaan diberikan kepada graduan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, disiplin, kepimpinan, serta penglibatan aktif dalam aktiviti institusi dan masyarakat.

Di samping menyokong pembangunan kerjasama dua hala antara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China di bawah inisiatif Belt and Road.
Turut hadir, ahli-ahli Lembaga Pengelola IBTE, pegawai-pegawai dan tenaga pengajar IBTE, serta ibu bapa dan ahli keluarga para graduan yang diraikan.

