Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    189 pegawai tamat Latihan Juruaudit APTS

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Seramai 189 orang pegawai kerajaan daripada kesemua kementerian dan jabatan kerajaan telah berjaya menamatkan Latihan Juruaudit Standard Tandas Awam ASEAN (APTS) yang diadakan dalam 12 sesi dari 8 Julai hingga 26 Ogos lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, pegawai-pegawai kerajaan berkenaan merupakan mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan aset bagi kementerian dan jabatan masing-masing.

    Latihan Juruaudit APTS tersebut merupakan sebahagian daripada pelan tindakan untuk memastikan kebersihan tandas-tandas kerajaan termasuk institusi-institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah serta sektor swasta.

    Ia bermatlamat untuk mendidik dan melatih pegawai kerajaan utama dalam perancangan dan mengendalikan audit bagi prosedur, pengurusan dan kualiti tandas awam supaya dapat menilai kepatuhan dan prestasinya dengan APTS.

    Latihan sehari bagi setiap sesi berkenaan telah dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan di mana kandungan latihan merangkumi sesi praktikal dan teori di mana pegawai-pegawai kerajaan berkenaan telah diberikan pengalaman mengaudit tandas di KSSUP.

    Di bawah APTS (PBD 32:2016) yang disokong oleh Pusat Standard Kebangsaan Brunei Darussalam pada 2016, empat kriteria utama dinilai iaitu Sistem Pengurusan Alam Sekitar dan Reka Bentuk, Kemudahan, Kebersihan serta Keselamatan.

    Dengan latihan yang dilaksanakan itu, diharap setiap kementerian dan jabatan kerajaan di Brunei dapat meraih manfaat daripada pelaksanaan Standard APTS yang akan membawa pembaikan signifikan dalam bidang-bidang kepuasan pelanggan dan pelancong, memperbaiki sikap tandas, tidak menggalakkan vandalisme dan amalan menyalahi undang-undang serta meningkatkan kebersihan dan keselesaan untuk semua pengunjung tandas.

    Gambar ramai antara pegawai kerajaan yang menyertai latihan berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan
    Para peserta ketika mengikuti latihan berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan
    Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda