Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) telah menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas gerai-gerai jualan perayaan (bermusim) sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 tahun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit SDT, MOFE, hari ini, dua sesi operasi berkenaan dijalankan di kawasan letak kereta berhadapan dengan Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja dan Gerai Makan Tamu Selera pada 17 Julai dan di Dermaga Diraja, Kawasan Pasar Malam Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan di kawasan letak kereta berhadapan dengan Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja pada 28 Ogos lalu.
Lawatan pemeriksaan mengejut berkenaan merupakan tindakan rutin dalam memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.
Hasil daripada tindakan pemeriksaan mengejut ke atas bangku dan meja gerai makan dan jualan itu pada 17 Julai dan 28 Ogos, sebanyak 25 unit alat sukat dan timbang digunakan bagi tujuan perniagaan di mana 19 unit daripadanya gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, iaitu menggunakan alat sukat dan timbang yang tidak berdaftar.
Para pemilik alat sukat dan timbang yang gagal mematuhi akta dan peraturan sukat dan timbang, telah dikeluarkan Notis Peringatan dan dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan bagi memperbetulkan isu berkenaan.
Para peniaga dan pengguna alat sukat dan timbang adalah dikehendaki sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994. Di bawah Seksyen 3 (2), setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana alat timbangan atau sukatan untuk menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan ini adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman $1,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, alat timbangan atau sukatan tersebut boleh dirampas dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan dagang yang dibuat dengan alat timbangan atau sukatan sedemikian adalah tidak sah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 238 3142.




