Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 anak damit lahir 15 Julai dirai

    Oleh Salawati Haji Yahya Dan Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Seramai 19 anak damit telah selamat dilahirkan pada Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun, kelmarin.

    Daripada 19 anak damit yang dilahirkan, 15 orang dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), manakala empat anak damit lagi telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait.

    Sehubungan itu, anak-anak damit berkenaan telah diraikan dalam Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit yang Lahir pada 15 Julai yang diadakan hari ini, di Hospital RIPAS dan Hospital SSB.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis di Hospital RIPAS ialah isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili, dan isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli.

    Manakala di Hospital SSB pula hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu.

    Datin Hajah Kalshom menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Datin Hajah Binanun menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Hospital SSB. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Pada majlis yang berlangsung di Hospital RIPAS dan Hospital SBB, tetamu-tetamu kehormat dan wakil Perbadanan TAIB dan Ketua Pegawai Kewangan, Dayang Zamzaipa binti Haji Ismail seterusnya menyampaikan cenderamata berupa wang tunai yang dikreditkan ke dalam Akaun Simanja di Perbadanan TAIB barang keperluan anak damit dan ibu, serta potret kenangan ibu-bapa dengan anak damit sumbangan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-78 bagi tahun ini.

    Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut memberikan sumbangan cenderahati berupa produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di majlis yang diadakan di kedua-dua hospital berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, anak damit pertama telah dilahirkan di Hospital RIPAS pada pukul 1:02 pagi iaitu anak kepada pasangan Dayang Nuur Syadzwani binti Abdul Kader dan Awang Ghani bin Rafaheh.

    Manakala anak damit terakhir telah dilahirkan di Hospital SBB pada pukul 6:39 petang kepada pasangan Dayang Nurul Izzati Naqibah binti Zaidi dan Awang Mohammad Norjayme @ Ahmadafifi bin Haji Mohd Sapami.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda