Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 anak damit lahir sempena Hari Keputeraan diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Sejumlah 19 anak damit telah dilahirkan pada 15 Julai, seramai 15 daripadanya dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan, manakala empat anak damit lagi telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Daerah Belait.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Yang Lahir pada 15 Julai bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 telah diadakan hari ini di Hospital RIPAS dan HSSB.

    Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat majlis di Hospital RIPAS adalah Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili, isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan juga Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli, isteri kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Datin Hajah Kalsom binti Haji Suhaili menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam majlis berkenaan.
    Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam majlis berkenaan. – GAMBAR- GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Di majlis itu, tetamu-tetamu kehormat seterusnya menyampaikan cenderamata berupa wang yang dikreditkan ke dalam Akaun Simanja di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), barang keperluan anak damit dan ibu, serta potret kenangan ibu-bapa dengan anak damit sumbangan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-78 bagi tahun ini.

    Perbadanan TAIB turut menyumbangkan cenderamata kepada anak-anak damit berkenaan berupa wang tunai berjumlah $200.00 yang turut dikreditkan ke dalam Akaun Simanja berserta barang keperluan anak damit.

    Sementara di HSSB pula, hadir selaku tetamu kehormat majlis adalah Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu, isteri kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut mengambil bahagian dengan memberikan sumbangan cenderahati berupa produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) di majlis yang diadakan di kedua-dua hospital berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda