HARARE, 10 JAN – 19 ekor badak air telah mati di Zimbabwe dalam tempoh tiga bulan lalu, kemungkinan besar akibat kekurangan makanan yang mencukupi disebabkan oleh kemarau yang teruk, kata pihak berkuasa hidupan liar kelmarin.
Sampel daripada haiwan yang mati menunjukkan tiada kesan keabnormalan atau keracunan antraks, menurut kenyataan ZimParks.
Walau bagaimanapun, siasatan mendapati bahawa badak air tersebut telah berpindah sejauh 10 kilometer dari habitat asal mereka untuk mencari makanan, tambah kenyataan itu.
“Penemuan itu menunjukkan dengan jelas bahawa kebanyakan kes kematian setakat ini secara langsung berkaitan dengan kekurangan nutrisi yang teruk dan bukannya penyakit berjangkit,” tambah kenyataan itu.
Zimbabwe adalah antara beberapa negara di Afrika selatan yang terjejas teruk oleh kemarau dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Hujan hanya mula turun dalam beberapa hari yang lalu, menurut ZimParks.
Kira-kira separuh daripada populasi badak air di kawasan itu, yang dikenali sebagai rantau tengah Zambezi, didapati dalam keadaan yang teruk dengan tulang pelvis dan tulang belakang yang kelihatan jelas, tanda-tanda malnutrisi atau kekurangan makanan yang mencukupi, tambah kenyataan tersebut. – AFP
