Monday, July 14, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 cedera, lebih 250 rumah rosak akibat puting beliung

    SANTIAGO, 27 MEI – Presiden Chile, Gabriel Boric dijadual mengunjungi bandar selatan Puerto Varas kelmarin selepas puting beliung luar biasa melanda kawasan itu Ahad lalu, mengakibatkan 19 orang cedera selain lebih 250 rumah rosak serta tiang elektrik dan pokok tumbang, lapor Xinhua.

    Puting beliung kuat itu mengejutkan kira-kira 45,000 penduduk bandar yang terletak di pinggir Tasik Llanquihue dan berhampiran beberapa gunung berapi.

    Susulan kejadian itu, Boric mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan langkah kecemasan bagi mencepatkan penilaian kerosakan terhadap rumah dan harta benda, sambil memaklumkan ‘pelbagai agensi kerajaan sedang bekerjasama dalam kerja-kerja pembersihan runtuhan.’

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Victor Ramos memaklumkan kepada media kelmarin mangsa yang cedera sedang menerima rawatan dan ‘bekalan air minuman pulih sepenuhnya manakala sistem bekalan elektrik telah dipulihkan 85 peratus.’ Perkhidmatan meteorologi Chile memaklumkan bahawa fenomena luar biasa itu mencatatkan kelajuan angin sehingga 180 kilometer sejam.

    Perkhidmatan Negara untuk Pencegahan dan Tindak Balas Bencana (Senapred) telah mengisytiharkan amaran merah di kawasan berkenaan bagi memantau fenomena cuaca itu secara berterusan, menyebabkan pihak berkuasa tempatan menangguhkan sesi persekolahan kelmarin serta menyediakan pusat perlindungan untuk mangsa yang terjejas. – Bernama

    Gambar menunjukkan kerosakan akibat kejadian puting beliung di bandar Puerto Varas, Wilayah de los Lagos, selatan Chile pada 26 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda