BERLIN, 20 JULAI — Pihak berkuasa Jerman memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 19 cedera, termasuk empat parah, selepas pertunjukan bunga api tidak berjalan seperti dirancang di sebuah pesta rakyat di bandar Dusseldorf, barat Jerman.
Pasukan bomba dan perkhidmatan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian lewat malam Jumaat, ketika acara Rheinkirmes berlangsung di sepanjang Sungai Rhine.
Gambar dari tempat kejadian menunjukkan bunga api meletup hampir di paras tanah di tebing sungai.
Seorang kanak-kanak antara yang cedera, lapor agensi berita DPA.
Perkhidmatan bomba Dusseldorf menyatakan bahawa polis sedang menyiasat punca kemalangan tersebut.
“Kami berdukacita kepada mangsa yang terlibat dan keluarga mereka. Kami mendoakan agar semua yang cedera cepat sembuh. Kami amat kesal dengan kejadian ini,” kata jurucakap, Peter Dietlmaier.
Penganjur telah menamatkan acara lebih awal pada hari kejadian dan sedang mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pertunjukan bunga api tradisional pada edisi acara tahun hadapan, tambahnya.
Pesta rakyat yang berlangsung selama 10 hari itu menampilkan permainan taman tema, pertunjukan dron dan bunga api, serta pelbagai hiburan lain oleh ratusan petugas di sepanjang tebing kiri Sungai Rhine, bertentangan dengan kawasan bersejarah bandar Dusseldorf.
Acara tersebut dianjurkan oleh Kelab Menembak St. Sebastianus, yang mempunyai sejarah sejak tahun 1316. – AP
