Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 keluarga terima bantuan kewangan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Bagi meringankan bebanan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga, seramai 19 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran, angin kencang, rumah tidak selamat dan rumah roboh telah menerima bantuan kewangan di Majlis Penyampaian Bantuan yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS merupakan salah satu usaha keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

    Hadir bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Menurut kenyataan, enam orang ketua keluarga daripada 19 yang menerima bantuan kewangan hari ini adalah mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran, dua ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh, dua ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah tidak selamat dan sembilan ketua keluarga yang terlibat dengan kejadian angin kencang.

    Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ketua keluarga pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN JAPEM
    GAMBAR SERAHAN JAPEM
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa hadir ke majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN JAPEM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda