MANAGUA, 24 DIS – Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak adalah antara 19 maut semalam apabila bas yang sesak terbalik di atas jambatan di sebuah bandar di utara ibu kota Nicaragua, Managua, kata sebuah laman web kerajaan.
Sepuluh kanak-kanak yang maut dalam nahas itu berumur antara empat dan 16 tahun, kata laman web rasmi el19digital.com, memetik pegawai Kementerian Kesihatan.
Kira-kira 40 penumpang cedera dalam kemalangan itu, tambahnya.
Naib Presiden Rosario Murillo, isteri Presiden Daniel Ortega, berkata di Channel 4 yang dikendalikan kerajaan bahawa kira-kira 70 orang bersesak dalam bas pada masa itu.
Beliau berkata kemalangan itu berlaku di Rancho Grande, nampaknya apabila pemandu bas hilang kawalan di atas jambatan dan kenderaan itu terbalik.
Pihak berkuasa berkata bas itu memecut laju dan polis menahan pemandu itu ketika dia cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas itu.
Sembilan daripada mangsa telah dikenal pasti setakat ini, kata Murillo, tanpa memberikan nama mereka.
Imej dalam akhbar tempatan menunjukkan bas kuning itu tertusuk oleh pagar besi jambatan, manakala beberapa mangsa kelihatan terbaring di atas jalan berhampiran. – AFP


