KATHMANDU, 23 JUN – Sekurang-kurangnya 19 orang maut selepas banjir yang dicetuskan oleh monsun tahunan Asia Selatan, dengan hujan lebat selama seminggu yang berterusan memaksa ribuan orang mencari perlindungan di India.
Banjir merupakan perkara biasa dan menyebabkan kemusnahan yang meluas semasa musim tengkujuh yang berbahaya, tetapi pakar mengatakan perubahan iklim sedang meningkatkan kekerapan, kekuatan dan ketidaktentuan banjir.
Jumlah korban banjir dan tanah runtuh hujung minggu lalu di Nepal telah meningkat kepada 14 orang hari ini, dengan lebih puluhan orang masih hilang, menurut pegawai berkuasa.
“Pasukan pencarian dan penyelamat masih berada di tempat kejadian,” kata jurucakap pihak berkuasa bencana negara, Dhruba Bahadur Khadka kepada AFP, hari ini.
Empat lagi terbunuh selepas banjir dalam tanah runtuh di negeri Himalaya terpencil di India, Arunachal Pradesh berhampiran sempadan China, kata pihak berkuasa pengurusan bencana setempat, kelmarin.
Pihak berkuasa di negeri jiran, Assam mengatakan seorang meninggal dunia dalam air banjir petang kelmarin, dengan lebih 1,300 kampung ditenggelami air.
Kira-kira 14,000 orang telah meninggalkan rumah mereka menuju tempat perlindungan kecemasan, tambah agensi bencana Assam.
Bangladesh juga berjaga-jaga selepas peramal cuaca memberi amaran kemungkinan terjadinya banjir di daerah utara bersempadan dengan India.
Sekurang-kurangnya 20,000 keluar-ga setakat ini terjejas akibat banjir di kawasan rendah di sekitar daerah utara Kurigram, kata pihak berkuasa.
“Sungai-sungai utama di rantau itu semakin meningkat,” kata pentadbir daerah, Mohammad Rezaul Karin kepada AFP. “Keadaan mungkin bertambah buruk pada bila-bila masa jika aliran dari hulu meningkat.” – AFP