Sunday, March 30, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 maut dalam kebakaran hutan di Korea Selatan

    ANDONG, 26 MAC – Sekurang-kurangnya 19 orang telah terbunuh dalam salah satu kebakaran hutan terburuk di Korea Selatan, dengan beberapa kebakaran besar mengakibatkan ‘kerosakan yang belum pernah berlaku sebelum ini,’ kata Presiden sementara hari ini.

    Lebih daripada 12 kebakaran meletus pada hujung minggu lalu, membakar sebahagian besar kawasan di negara itu, mendorong 27,000 orang berpindah segera, dengan kebakaran memutuskan jalan raya dan merosakkan talian komunikasi ketika penduduk melarikan diri dalam keadaan panik.

    Pada malam sehingga ke hari ini, angka kematian telah meningkat kepada 19 orang, apabila api yang dibawa angin merebak ke kawasan kejiranan dan memusnahkan sebuah kuil purba.

    Lapan belas orang terkorban dalam kebakaran hutan dan seorang juruterbang helikopter bomba terbunuh apabila pesawatnya terhempas di kawasan pergunungan, kata pihak berkuasa.

    Menurut Kementerian Dalam Negeri, kebakaran hutan telah memusnahkan 17,398 hektar, dengan kebakaran di daerah Uiseong sahaja menyumbang kepada 87 peratus daripada jumlah keseluruhan.

    Kerajaan telah menaikkan tahap amaran krisis ke tahap tertinggi dan mengambil langkah luar biasa dengan memindahkan ribuan banduan keluar dari penjara di kawasan tersebut.

    “Kebakaran hutan yang berterusan selama lima hari berturut-turut telah menyebabkan kerosakan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Presiden sementara Korea Selatan, Han Duck-soo.

    Beliau memberitahu mesyuarat kecemasan keselamatan dan bencana bahawa kebakaran tersebut ‘berkembang dengan cara yang mengatasi kedua-dua ramalan sedia ada dan jangkaan awal.’ – AFP

    Kelihatan bara api yang masih tertinggal selepas kebanyakan bangunan musnah terbakar dalam kebakaran hutan di Kuil Gounsa di Uiseong, pada 26 Mac 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda