KABUL, 2 NOV – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala 50 lagi cedera dalam serangan nekad di hospital tentera di Kabul hari ini, serangan terbaharu yang mengejutkan Afghanistan sejak Taliban mengambil alih kuasa.
Dua letupan berlaku berhampiran tempat masuk diikuti dengan laporan tembakan di dalam hospital, menurut pihak Taliban dan saksi.
“Seramai 19 orang terbunuh dan kira-kira 50 lagi yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital di Kabul,” beritahu pegawai kementerian kesihatan kepada AFP.
Taliban menghabiskan tempoh 20 tahun untuk melancarkan pemberontakan bagi menyingkirkan kerajaan yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).
Kini Taliban berdepan dengan pergelutan untuk membawa kestabilan di Afghanistan, yang menyaksikan pertumpahan darah dalam beberapa minggu kebelakangan dengan serangan dilakukan kumpulan IS tempatan.

Masih belum ada kumpulan yang mengakui bertanggungjawab ke atas serangan hari ini.
“Kesemua penyerang terbunuh. Serangan dilakukan oleh pengebom nekad yang menaiki motosikal meletupkan diri di pintu masuk hospital,” menurut kenyataan Taliban menerusi pasukan media.
“Beberapa orang penyerang memasuki perkarangan hospital,” tambah kenyataan.
“Saya berada di dalam hospital. Kemudian terdengar bunyi letupan kuat dari tempat pemeriksaan pertama. Kami diberitahu untuk pergi ke bilik yang selamat. Saya juga terdengar bunyi tembakan,” beritahu seorang doktor di hospital Kabul, Sardar Mohammad Daud Khan kepada AFP.
“Saya juga terdengar bunyi tembakan dari dalam bangunan hospital. Saya merasakan penyerang menggeledah setiap bilik,” tambahnya.
Jurucakap media Taliban mengesahkan dua letupan berlaku di kawasan hospital hari ini.
“Satu letupan berlaku di pagar hospital tentera dan kedua di kawasan berhampiran hospital, ini adalah maklumat ringkas, kami akan memberikan butiran lanjut kemudian,” dia memberitahu AFP. – AFP