Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 pakar pendidikan terima lencana, sijil pelantikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Seramai 19 pakar pendidikan daripada kumpulan 2 dan 3 menerima lencana dan sijil mereka dalam Program Induksi Pakar Pendidikan dan Majlis Pelantikan Pakar Pendidikan Kumpulan 2 dan Kumpulan 3, yang berlangsung di Dewan Bankuet Jupiter, Hotel Star Lodge, Kampung Jerudong, hari ini.

    Hadir menyempurnakan penyampaian lencana penghargaan pakar pendidikan dan sijil pelantikan kepada para penerima ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Majlis berkenaan diadakan oleh Kementerian Pendidikan, melalui Unit Kepakaran, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan Pengurusan Pendidik.

    Dr Haji Azman turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada para penyampai dan fasilitator bagi program berkenaan.

    Sementara itu, pada sesi pagi, program dimulakan dengan penyampaian beberapa taklimat khas oleh wakil dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) dan Jabatan Kenaziran Sekolah-sekolah.

    Dr Haji Azman menyempurnakan penyampaian sijil lantikan kepada para penerima yang diraikan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Haji Azman menyempurnakan penyampaian lencana kepada para pakar pendidikan yang dilantik. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Sesi berkenaan diteruskan dengan bengkel khas bertajuk, Maqasid Syariah: Prinsip Panduan untuk Kepimpinan Beretika dan Kecemerlangan Pendidikan, yang disampaikan oleh Penolong Profesor, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

    Para peserta seterusnya mengikuti bengkel khas bertajuk, Leading With Character: Excellence, Compassion and Responsibility, yang disampaikan oleh Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan.

    Program induksi itu bertujuan untuk melengkapkan para pakar pendidikan dengan kemahiran dan pengetahuan asas yang diperlukan bagi melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan berkesan.

    Program itu juga berperanan memupuk perkembangan profesional para peserta melalui pendedahan kepada pelbagai kaedah dan kemahiran yang relevan dalam menyokong pembangunan berterusan mereka.

    Selain itu, penekanan turut diberikan kepada penyelarasan bidang tugas pakar pendidikan dengan matlamat strategik Kementerian Pendidikan supaya sumbangan mereka dapat memberikan impak yang mampan dan signifikan dalam landskap pendidikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda