Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 pekerja masih belum berdaftar TAP, SCP

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Masih ada lagi majikan yang gagal mendaftarkan dan mencarumkan pekerjanya di bawah Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim SCP.

    Seramai 19 orang pekerja tempatan telah didapati gagal didaftarkan dan dicarumkan di bawah skim TAP dan SCP semasa lawatan yang dijalankan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan ke premis-premis perniagaan di sekitar Kampung Lambak dan Kampung Salambigar, baru-baru ini.

    Sebanyak 74 premis majikan telah diperiksa semasa lawatan berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP.

    Antara objektif utama lawatan berkenaan adalah bagi memastikan setiap pekerja mempunyai simpanan untuk kesejahteraan hari persaraan mereka nanti.

    Setiap majikan perlu bertanggungjawab dalam mendaftarkan dan membayar caruman skim TAP dan SCP pekerja-pekerja mereka.

    Pemeriksaan dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan TAP. – Gambar serahan TAP

    Sehubungan itu, TAP memaklumkan kepada majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja adalah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan online TAP, e-Amanah dengan log masuk ke akaun majikan melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    Selain majikan juga tidak perlu lagi berurusan melalui kaunter-kaunter perkhidmatan TAP seperti sebelumnya.

    TAP juga menasihatkan majikan untuk mendaftarkan pekerjanya ke skim TAP dan SCP, bagi mengelak kesalahan di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, di mana majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    Bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, pihak pengadu boleh mengongsikan maklumat menerusi hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 8998290 ataupun melalui e-mel di alamat enforcement@tap.com.bn.

    Pekerja yang ingin membuat sebarang aduan mengenai caruman yang tidak dibayar atau belum didaftarkan dinasihatkan untuk mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 semasa waktu bekerja.

    Sementara itu, bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan online TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat dengan log masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda