Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 27 April – Pelajar-pelajar kimia dari Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) secara berterusan mencatatkan pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan ‘Chemistry Olympiad’ ke-50 tahun anjuran Royal Society of Chemistry (RSC), baru-baru ini.
Dalam peperiksaan berkenaan, empat orang pelajar menerima sijil Kategori Emas, 10 menerima sijil Perak dan lima lagi pelajar menerima sijil Gangsa.
Pelajar-pelajar yang menerima sijil Kategori Emas ialah Awang Afiq Hamizan bin Haji Amzah, Yong Yin Rong, Awang Amillen Fizry bin Senaut dan Dayang Nur Umairah binti Ali Hazis yang mana kesemua pelajar adalah dari Tahun 13.
Sementara itu, pelajar-pelajar yang menerima sijil Kategori Perak pula terdiri daripada tujuh orang pelajar Tahun 13 iaitu Dayang Faten Khairullisa Najihah binti Hassim, Koh Junzhe, Awang Muhd Danish Asrien bin Muhd Masri, Awang Nur Ilmi bin Josnany, Audrey Menti Baring anak Melayu, Mek Ke Ling dan Sharmaine anak Kahar serta tiga pelajar Tahun 12 iaitu Aubrey Dexter anak Antere, Awang Izzul Afiq Amirun bin Muayah dan Mohamad Naqib Nasrullah bin Mohamad Yussof.
Pelajar-pelajar yang menerima sijil Kategori Gangsa pula adalah daripada Tahun 12 iaitu Dayang Zulfah Zuhairah binti Haji Abdul Rani, Dayangku Nur Haziqah Syuhadah binti Pengiran Izudin Abas, Dayang Nur Izzatul Sahirah binti Haji Ismail, Awang Muhammad Afif Ruzaini bin Muhammad Sofian dan Erica binti Aammton.

Ketua Jabatan Kimia PTET, Dayang Nurdiyanah Goh Abdullah telah melahirkan rasa gembira dan berbangga dengan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar yang berani mengikuti peperiksaan berkenaan.
Beliau seterusnya mengucapkan sekalung tahniah kepada mereka yang menyertai dan atas kejayaan mereka.
Selain PTET, institusi tertinggi di negara ini iaitu pelajar-pelajar dari Pusat Tingkatan Enam Meragang dan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong turut menyertai Peperiksaan ‘Chemistry Olympiad’ pada tahun ini.
Pelajar-pelajar luar negara dari United Kingdom (UK) hanya dibenarkan mengikuti peperiksaan tersebut pada pusingan pertama sahaja iaitu peperiksaan secara bertulis.
Peperiksaan kimia yang ditaja dan disokong sepenuhnya oleh INEOS, pengeluar ketiga terbesar kimia di seluruh dunia itu adalah peperiksaan yang mempunyai standard lebih tinggi berbanding peperiksaan Kimia daripada Peringkat AS dan A2 di sekolah negara ini.
Pelajar-pelajar yang berjaya menjawab ujian tersebut menerima sijil elektronik daripada penganjur dalam tiga kategori iaitu Emas, Perak dan Gangsa.
Dengan mengikuti peperiksaan tersebut, para pelajar mempunyai kelebihan dalam mengembangkan lagi kepakaran mereka dalam bidang kimia.