Sunday, December 15, 2024
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 penjenayah siber Jepun bakal dipulangkan

    PHNOM PENH, 7 APRIL – Seramai 19 orang warganegara Jepun yang ditahan di Kemboja pada Januari kerana disyaki terlibat dalam penipuan telefon dan dalam talian akan dipulangkan ke negara asal mereka, menurut pegawai polis imigresen Kemboja hari ini.

    Jadual pemulangan mereka telah diaturkan oleh Kedutaan Jepun di Kemboja, namun setakat ini tiada tarikh telah ditetapkan, menurut jurucakap polis imigresen, Jeneral Keo Vanthan kepada The Associated Press.

    Stesen penyiar Jepun, NHK hari ini melaporkan bahawa polis Tokyo telah mendapatkan waran tangkap ke atas 19 orang warga Jepun yang disyaki mengendalikan penipuan telefon dari Kemboja yang menyasarkan orang di Jepun.

    NHK berkata pihak berkuasa Kemboja telah menggeledah bilik hotel lelaki-lelaki berkenaan dan ‘menemui senarai warganegara Jepun yang dipercayai menjadi sasaran skim penipuan’.

    Kesemua suspek telah ditahan di bandar Sihanoukville di bahagian selatan pada 24 Januari dan dihantar ke ibu kota, Phnom Penh, di mana mereka ditahan selepas soal siasat oleh kementerian dalam negeri.

    Keo Vanthan enggan memberikan butiran lanjut mengenai warga Jepun yang ditahan atau kesalahan yang mereka lakukan.

    Walau bagaimanapun, polis di Sihanoukville, yang sejak beberapa tahun kebelakangan menjadi terkenal dengan jenayah seperti penipuan dalam talian dan telefon, menyatakan pada Januari bahawa mereka telah membuka kes selepas dimaklumkan mengenai kira-kira 20 orang lelaki Jepun ditahan di sana dan diperas untuk wang.

    Mereka menemui sekumpulan lelaki warga Jepun menetap di sebuah hotel di Sihanoukville, tetapi mereka menafikan kepada polis bahawa mereka ditahan terhadap kehendak mereka atau diperas. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda