Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Seramai 19 penerima bagi 28 kategori yang berbeza telah meraih pengiktirafan masing-masing semasa berlangsungnya Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G) ke-10 Tahun 2025 pada majlis penyampaian yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan sesi penyampaian anugerah berkenaan ialah Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Puan Yang Terutama Datuk Seri Dr Zaliha binti Mustafa telah menerima Anugerah Kepimpinan 3G untuk Sektor Kerajaan (Individu) 2025. Anugerah berkenaan mengiktiraf individu yang telah menunjukkan kepimpinan yang luar biasa dalam kerajaan, memacu perubahan positif dan memberi inspirasi kepada orang lain melalui komitmen mereka terhadap tadbir urus.
Majlis seterusnya menyaksikan Takaful Brunei meraih Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G untuk Kecemerlangan Perkhidmatan 2025; Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan 3G 2025; Bank Islam Brunei Darussalam menerima Anugerah Institusi Kewangan 3G Paling Mampan di Brunei Tahun 2025; dan Salik Company selaku penerima Anugerah Kecemerlangan 3G untuk Advokasi dan Komitmen kepada Tadbir Urus Korporat 2025.
Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TAIB, anugerah tersebut mengiktiraf usaha berterusan TAIB dalam menyediakan perkhidmatan kewangan Islam yang berfokuskan kepada pelanggan serta selaras dengan keperluan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Di samping mengekalkan amalan tadbir urus yang baik, ketelusan dan tanggungjawab sosial. Di bawah bimbingan Lembaga Pengarah dan diperkukuhkan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah, Perbadanan TAIB memastikan setiap inisiatif dan perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip Islam dan amalan tadbir urus terbaik.
Selain itu, anugerah tersebut mengukuhkan lagi peranan TAIB sebagai salah satu institusi kewangan Islam yang terkemuka di rantau ini dalam menyokong pembangunan sosioekonomi negara melalui penyediaan perkhidmatan kewangan berimpak dan bertanggungjawab.
Manakala, Anugerah Kecemerlangan dalam Sustainability Reporting 3G 2025 telah diraih oleh Jollibee Group dan Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G dalam Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia 2025 yang mengiktiraf usaha institusi yang berdedikasi untuk memperkasakan generasi akan datang telah diberikan kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Dua anugerah lagi iaitu Anugerah Advokasi 3G Tadbir Urus Korporat 2025 dan Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G dalam CSR 2025, mengiktiraf kerja institusi dalam mempromosi dan menyokong amalan terbaik tadbir urus korporat dan kecemerlangan dalam CSR telah diterima oleh Dubai Customs. Manakala Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G untuk Microfinance 2025, mengiktiraf sumbangan besar yang dibuat untuk memperkasakan komuniti melalui pembiayaan mikro telah diperolehi oleh Tekun Nasional.
Satu anugerah lagi telah diterima oleh Emirates Driving Company iaitu Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G dalam Pelaporan Tadbir Urus Korporat 2025 yang mengiktiraf ketelusan yang cemerlang dalam pelaporan tadbir urus korporat. Walailak University turut memenangi dua anugerah pada tahun ini iaitu Anugerah Kecemerlangan 3G untuk Kampus Hijau 2025 dan Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G untuk Pembangunan Mampan 2025, yang memberi penghormatan kepada universiti yang telah menetapkan piawaian untuk kelestarian dalam pendidikan.
Majlis turut menyaksikan Anugerah Kecemerlangan 3G dalam Tanggungjawab Sosial 2025 bagi memberi penghormatan kepada syarikat yang telah memberi impak ketara melalui usaha tanggungjawab sosialnya kepada Bumi Serpong Damai. Bumi Serpong Damai juga merupakan penerima Anugerah Inovasi dan Penyelesaian Hijau Terbaik 3G 2025.
Dua anugerah iaitu Anugerah Amalan Tadbir Urus Korporat Terbaik 3G 2025 dan Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G dalam Kemampanan dan Inovasi 2025, untuk penghormatan kepada organisasi di barisan hadapan dalam inovasi mampan dan tadbir urus korporat telah diterima oleh Dubai Land Department. Seterusnya, Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G ESG 2025 dan Anugerah Program CSR Terbaik 3G 2025, mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam penyepaduan amalan ESG dan program tanggungjawab sosial korporat yang berkesan diraih oleh Robinsons Land Corporation.
Selain itu, majlis turut meraikan penerima Anugerah Kecemerlangan 3G dalam Transformasi Digital 2025 dan Anugerah Institusi Sektor Awam Terbaik 3G 2025, yang diberikan kepada institusi yang telah mendahului dalam menerima transformasi digital untuk kecekapan dan perkhidmatan yang lebih baik yang mana diberikan kepada GDRFA Dubai. Dua lagi, Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G dalam Pemerkasaan Wanita 2025 dan Anugerah Kepimpinan 3G untuk Mikrokewangan 2025, mengiktiraf usaha cemerlang dalam mempromosikan kesaksamaan jantina dan memperkasakan wanita telah diterima oleh Amanah Ikhtiar Malaysia.
Sementara itu, Sulaiman Rajhi Charitable Foundation turut menerima Anugerah Kepimpinan 3G untuk Amal dan Derma 2025 dan Agensi Alam Sekitar, Abu Dhabi pula menerima Anugerah Kejuaraan (Championship) 3G ESG 2025 dan Anugerah Kepimpinan 3G dalam Tadbir Urus Kelestarian 2025 yang mengiktiraf sebuah institusi atas usahanya yang luar biasa dalam menerima pakai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), mewujudkan impak yang positif dan mampan.