Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Sebanyak 19 buah sekolah menengah kerajaan dan swasta telah menerima sijil penghargaan dan cenderamata pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan dan Cenderamata kepada wakil setiap sekolah peserta Pertandingan Kuiz Sejarah Piala Pehin Jawatan Dalam ke-3, Tahun 2023, hari ini.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata pada majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku tetamu khas majlis.
Antara objektif pertandingan berkenaan adalah bagi memupuk minat pelajar dalam subjek sejarah seterusnya mengembangkan bakat dan minat pelajar dalam bidang sejarah budaya dan warisan.
Selain itu, ia memberi kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan mempelajari sejarah dan hubungannya kepada pengukuhan jati diri dan pembangunan negara bangsa.
Kuiz berkenaan juga menggalakkan persaingan dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan menanamkan perasaan cintakan raja, agama, bangsa dan negara.
Pertandingan berkenaan dibukakan kepada pelajar Tahun 9 hingga 11 dari sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta seluruh negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan Pengetua Pusat Sejarah Brunei (PSB), Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.
Pertandingan Kuiz Sejarah Piala Piala Pehin Jawatan Dalam kali ke-3 ini merupakan anjuran PSB dengan kerjasama RTB.