Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman sekuriti siber khususnya di kalangan golongan belia, rombongan seramai 19 orang menyertai Program Overseas Learning Journey (OLJ) yang diadakan di Malaysia bermula 18 hingga 23 Mei.
Sehubungan dengan itu, rombongan yang merangkumi tiga orang ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Keselamatan Siber Brunei (BCSA), seorang pensyarah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan 15 orang ahli pelajar BCSA dari Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, UNISSA, Politeknik Brunei, IBTE, Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan serta Institut Kemuda berlepas menyertai program berkenaan, hari ini.
BCSA menyatakan bahawa Program OLJ Kedua dianjurkan dengan kerjasama RawSec Malaysia, membina atas kejayaan program pertama OLJ pada 2024 yang diadakan di Singapura dengan program tahun ini, mengukuhkan komitmen berterusan BSCA untuk memajukan pendidikan sekuriti siber, memupuk kerjasama antarabangsa dan pengalaman mendalam ekosistem dinamik sekuriti siber Malaysia.
Di samping mengadakan lawatan kepada lapan buah agensi dan syarikat sekuriti siber di Malaysia, delegasi juga akan mengadakan kunjungan rasmi kepada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia di Kuala Lumpur, bagi mengukuhkan lagi hubungan pendidikan dan diplomatik.
Menerusi inisiatif berkenaan, BCSA bermatlamat untuk melengkapkan para peserta dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman daripada organisasi dan institusi sekuriti siber unggul. Program itu direka untuk memberi inspirasi dan memperkasa profesional sekuriti siber generasi akan datang di Brunei sambil menggalakkan kolaborasi merentas sempadan dan berkongsi amalan terbaik serantau. BCSA dan RawSec Malaysia merupakan ahli ASEAN-Japan Cybersecurity Community Alliance (AICCA) dan Southeast Asia Cybersecurity Consortium (SEACC) di mana pakatan serantau berkenaan menggariskan komitmen yang kuat kepada pembangunan sekuriti siber, mempromosikan perkongsian ilmu pengetahuan, pembangunan kapasiti dan kolaborasi strategik di kalangan negara anggota.
