Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 tamat Bengkel Lughatul Mu’allim

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Seramai 19 peserta Bengkel Lughatul Mu’allim yang terdiri daripada guru-guru sekolah Arab hari ini menerima sijil tamat kursus pembelajaran Bahasa Arab anjuran Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Bengkel yang bermula 20 Februari hingga 1 Mei lalu, ditutup tirainya dengan majlis penutupan rasmi di Dewan Ta’lim, KUPU SB pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Mohd Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, yang seterusnya berkesudian menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta bengkel.

    Bengkel merupakan program yang diperkenalkan khusus bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Arab di bawah JPI, KHEU yang telah mula diadakan pada 2017 iaitu kepada seramai 20 orang pegawai dan guru-guru sekolah Arab pada setiap sesi bengkel yang diadakan selama 10 minggu.

    Program merupakan usaha KUPU SB sebagai institusi perguruan dalam meningkatkan kemampuan para guru dalam menguasai kaedah dan teknik pengajaran serta pembelajaran Bahasa Arab agar dapat diperbaiki dan dikemaskini di sekolah masing-masing.

    Antara objektif bengkel tersebut ialah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-6 2016 agar mempertingkatkan kualiti penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar selain bagi memastikan para guru dapat menguasai empat kemahiran asas dalam bidang Bahasa Arab iaitu istima’, qira’ah, kitabah dan kalam.

    Melalui bengkel ini, ia juga diharapkan agar dapat memberikan pendedahan kepada para guru mengenai pedagogi pengajaran Bahasa Arab yang terkini dan lebih efektif selain menyediakan peluang bagi pertukaran pengalaman mengenai isu-isu yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga sebagai platform untuk mencari mekanisma terbaik ke arah penyelesaian dan pembaikan yang berkesan.

    Salah seorang peserta bengkel, Awangku Saiful Khairul Zulkefly bin Pengiran Ludin menjelaskan bahawa para peserta telah memperoleh banyak maklumat baharu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab.

    Antara isi pembelajaran dalam bengkel tersebut termasuk cara membuat laporan, pengiklanan, borang, surat-surat rasmi dan sebagainya.

    Para peserta juga banyak mempelajari tatabahasa Bahasa Arab yang baharu dan kesalahan yang biasa dilakukan dalam Bahasa Arab, di samping turut mempelajari cara meningkatkan kemahiran bertutur dalam Bahasa Arab khususnya perbualan antara guru dan pelajar.

    Turut hadir pada majlis penutupan rasmi bengkel berkenaan ialah Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra’es KUPU SB, Datin Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh; pegawai-pegawai utama, pensyarah dan mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

    Tetamu kehormat ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda