Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 tamat Program ASEAN-ROK TVET Mobility diraikan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Kumpulan pertama seramai 19 orang peserta bagi Program ASEAN-ROK TVET Mobility telah berjaya menamatkan program dan diraikan dalam majlis penutup yang berlangsung di Hotel Radisson, di sini, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Marina Chek binti Bujang; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidikan Teknik, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli; Pemangku Timbalan Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dayang Dina Roslina binti Haji Aliuddin; Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Korea di Negara Brunei Darussalam, Hye Ran Cho; Pakar Pembangunan Pasukan Projek Global, Pejabat Pembangunan Sumber Manusia, Dewan Perniagaan dan Industri Korea, Hyun Ji Ye serta para jemputan khas.

    Dalam kata alu-aluannya, Hyun Ji Ye menyatakan bahawa program itu merupakan bukti kerjasama yang kukuh antara ASEAN dan Republik Korea di mana kedua-dua pihak terus komited untuk bekerjasama bagi membina sebuah masa hadapan yang lebih makmur dan inklusif bagi rantau berkenaan.

    Beliau menambah bahawa mobiliti warga akan amat penting dalam mencapai matlamat itu di mana dengan membolehkan pergerakan bebas warga di serata ASEAN, kita boleh memanfaatkan kumpulan bakat yang luas serta memupuk pertukaran ilmu pengetahuan dan kerjasama merentas sempadan.

    Semua itu, tekannya, akan membantu untuk membina sebuah rantau yang lebih inovatif dan mantap.

    Dayang Marina Chek, Dr Haji Mohd Zamri dan para jemputan khas yang menghadiri Majlis Penutup Program ASEAN-ROK TVET Mobility yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Para jemputan khas bergambar ramai dengan kumpulan pertama peserta Program ASEAN-ROK TVET Mobility yang berjaya menamatkan program selama tiga bulan itu. – Gambar oleh Sim Y. H.
    ATAS & BAWAH : Hyun Ji Ye menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Sim Y. H.
    Para peserta program tidak melepaskan peluang untuk mengambil swafoto kenang-kenangan. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Terdahulu, Pengurus Besar dan Pengetua Kolej Antarabangsa Micronet (MIC), Sharon Chin dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang membantu untuk menjayakan program berkenaan serta memberikan kepercayaan kepada MIC menjadi institusi hos bagi peserta-peserta Program ASEAN-ROK TVET Mobility.

    Beliau menyatakan harapan agar para peserta program akan memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh dalam bidang pengurusan rangkaian dengan sebaiknya apabila mereka kembali ke negara masing-masing.

    Majlis menyaksikan penyampaian sijil penyertaan program kepada para peserta program yang disempurnakan oleh Hyun Ji Ye.

    Program tersebut merupakan sebuah projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Dewan Perniagaan dan Industri Korea (KCCI) menerusi Dana Kerjasama ASEAN-ROK.

    Ia bermatlamat untuk mengurangkan jurang antara permintaan dan bekalan dalam bidang kemahiran vokasional di negara-negara ASEAN dengan program itu memudahkan pertukaran pelajar dan guru di antara institusi-institusi TVET dalam ASEAN.

    Seramai 19 orang peserta dari lima buah negara ASEAN iaitu dua dari Kemboja, tiga dari Myanmar, lapan dari Indonesia, tiga dari Filipina dan tiga orang dari Laos telah menyertainya di mana MIC telah dipilih untuk menjadi institusi hos di Brunei bagi program berkenaan.

    Kumpulan pertama telah memulakan pengajian mereka pada 10 Julai hingga 30 September bagi tempoh tiga bulan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda